Fungsi dan Peranan YDPA Konsep Raja Berperlembagaan di Malaysia

Kuasa Eksekutif

  • Perkara 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang di Malaysia dan Jadual Ke-2. Kuasa eksekutif dijalankan oleh Menteri atau Menteri-Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.
  • Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA hendaklah melantik sebuah Jemaah Menteri untuk menasihatkannya  dalam menjalankan peranannya.
  • Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan bahawa YDPA dalam menjalankan pemerintahannya hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri serta menimbangkan nasihat yang diberi oleh ahli Jemaah Menteri.
  • YDPA juga mempunyai kuasa dalam semua perkara di mana Parlimen membuat undang-undang di bawah Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan  Perlembagaan Persekutuan serta setakat dalam perkara yang disebut dari Perkara 93 hingga Perkara 95 Perlembagaan Persekutuan.
  • YDPA juga mempunyai kuasa untuk melantik Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak bawah butiran 19 A(1) Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
  • YDPA boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat (Proclamation of Emergency)  di bawah Perkara 150 Perlembagaan  Persekutuan. Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuanmemperuntukkan bahawa jika YDPA berpuas hati bahawa keadaan darurat yang serius berlaku serta mengancam ekonomi, ketenteraman boleh mengeluarkan perisytiharan tersebut.
  • Berdasarkan kes Teh Cheng Poh lwn  Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 dan N.Madhavan Nair lwn Government of Malaysia , YDPA akan bertindak untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan atas nasihat Jemaah Menteri.
  • Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:

1. Melantik seorang Perdana Menteri. (Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan)

2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen (Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan)

3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu. (Perkara 40 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan)

Kuasa Legislatif

  • Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong sebagai sebahagian daripada Parlimen.
  • Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan , YDPA boleh memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa dan menangguh sidang Parlimen.
  • Perkara 40(2)(b) & Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
  • Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen.
  • Perkara 66(4) Perlembagaan Persekutuan, YDPA juga berfungsi dalam memperkenankan undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen.
  • Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh membatalkan kelayakan ahli Parlimen.
  • Perkara 45(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berperanan untuk melantik Senator ke Dewan Negara. YDPA melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Kuasa Kehakiman

Yang di-Pertuan Agong mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah :

  • Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Persekutuan Melayu, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agong, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
  • Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.
  • Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 66 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 66 tahun.      
  • Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan, YDPA tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan seseorang hakim atas kemahuannya. Hanya melalui representasi yang dibuat oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara dan selepas menerima laporan tribunal, maka YDPA boleh menyingkirkan seseorang hakim itu daripada jawatannya.
  • Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA mempunyai kuasa pengampunan bagi semua kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera, semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan, semua kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Pemberian Bintang Kebesaran dan Ketua Angkatan Tentera

YDPA merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan mengikut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, baginda mempunyai kuasa pengampunan dan mengurangkan hukuman atas kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

YDPA juga akan mengurniakan Bintang Kebesaran kepada pihak-pihak yang layak.

Di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan , YDPA mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan orang bukan Melayu.

Pelantikan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya

Sebelum menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas, mereka akan mengangkat sumpah taat dan setia di hadapan YDPA.

Jawatan yang akan dilantik berdasarkan nasihat adalah seperti:

  • Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan – Suruhanjaya Pilihanraya
  • Perkara 137(3) Perlembagaan Persekutuan – sebahagian ahli Majlis Angkatan Tentera
  • Perkara 138 (2)(c) Perlembagaan Persekutuan -sebahagian ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
  • Perkara 139 (4) Perlembagaan Persekutuan – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
  • Perkara 140 (3) Perlembagaan Persekutuan – Suruhanjaya Perkhidmatan Polis
  • Perkara 141A (2) Perlembagaan Persekutuan -Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Agama Islam

Mengikut Perkara 3(3) Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan-perlembagaan negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah membuat peruntukan bagi memberi YDPA kedudukan sebagai Ketua Agama Islam dalam negeri-negeri ini.

Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan YDPA adalah Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta bahawa Parlimen boleh menubuhkan Majlis untuk menasihat YDPA mengenai perkara berkaitan dengan Agama Islam.  

Majlis Raja-Raja

Per. 40 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada YDPA untuk memanggil mesyuarat dengan ahli Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan ,kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran Raja-Raja Melayu.